Malay Language Unit
Malay Language Unit
UNIT BAHASA MELAYU SEKOLAH TINGGI CHUNG CHENG (YISHUN)
Unit Bahasa Melayu Sekolah Tinggi Chung Cheng (Yishun) telah ditubuhkan pada tahun 2003 di bawah naungan Jabatan Bahasa Ibunda. Tahun tersebut merupakan tahun yang bersejarah buat sekolah ini kerana pada pertama kalinya, pintu kami dibuka bagi menerima para pelajar yang mengambil Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ibunda mereka. Kumpulan pelajar tahun tersebut juga telah mengukir nama bagi para pelajar Bahasa Ibunda kami dengan meraih keputusan cemerlang di dalam Peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ pada tahun 2006 dengan memperolehi 100% kelulusan dan mencapai 80% gred A, yang melebihi tahap pencapaian di peringkat nasional. Ini adalah satu pencapaian yang baik bagi sekolah kami yang julung-julung kalinya mempunyai para pelajar yang menduduki kertas Bahasa Melayu. Ia juga merupakan satu pelantar bagi para pelajar kami yang lain untuk terus mencapai kejayaan yang cemerlang. Unit Bahasa Melayu juga ditubuhkan bagi melestarikan budaya dan bahasa Melayu di kalangan para pelajar kami di Sekolah Tinggi Chung Cheng (Yishun). Selain daripada kecemerlangan akademik, program kami dibentuk untuk melentur keperibadian pelajar secara menyeluruh. Guru-guru kami berdedikasi bagi memastikan keunggulan di antara anak didik kami.
Guru-guru Bahasa Melayu Sekolah Tinggi Chung Cheng (Yishun):
1. Cikgu Zarina Ismail (Ko-ordinator Unit Bahasa Melayu)
2. Cikgu Sharizan Sanwan
3. Cikgu Noor Fazillah Noor Aziz
4. Cikgu Samat Pawiro
Program 2016 Unit Bahasa Melayu Sekolah Tinggi Chung Cheng (Yishun)
Bengkel Muzik Melayu: Kompang dan Angklung
Pendedahan dan pengalaman bermain kompang dan angklung menjadi fokus utama dalam bengkel bagi pelajar Bahasa Melayu Menengah Satu ini. Pelajar diajar dua teknik utama bermain kompang untuk menghasilkan bunyi yang tertentu. Mereka kemudiannya bermain sebuah lagu pendek untuk menguji kemahiran mereka dalam kedua-dua teknik tersebut. Mereka juga diperkenalkan kepada alat muzik angklung yang mempunyai nota yang berbeza untuk bunyi yang berbeza. Para pelajar juga memainkan sebuah lagu pendek sebagai penutup sesi itu.
Bengkel Teater
Pelajar Bahasa Melayu Menengah Dua tidak kering gusi sepanjang sesi dua hari ini sambil mereka melihat telatah rakan-rakan mereka menyanyi, menari dan berlakon. Mereka didedahkan kepada asas pementasan teater pada sesi pertama dan diperkenalkan kepada skrip, lagu dan pergerakan yang akan diaplikasikan pada sesi kedua. Teknik pernafasan yang betul, latihan lontaran suara dan pergerakan tarian inang diajarkan untuk memudahkan mereka melakukan pementasan mini mereka. Setiap kumpulan perlu menyatukan elemen-elemen yang diajarkan untuk menghasilkan pementasan dengan bimbingan penyelia kumpulan mereka. Jelas kelihatan keyakinan diri para pelajar serta bakat yang terpendam.
Bengkel Seni Batik
Para pelajar Bahasa Melayu Menengah Tiga telah menghadiri sebuah bengkel seni batik untuk mendedahkan mereka kepada salah satu seni lukisan yang jarang dilihat proses pembuatannya. Pelajar diperkenalkan kepada alat serta bahan yang diperlukan untuk membuat lukisan tersebut serta teknik memegang canting. Mereka juga ditunjukkan cara untuk mewarnakan lukisan mereka supaya tampak lebih indah. Pada akhir sesi itu, para pelajar dapat membawa pulang lukisan mereka sebagai cenderamata.
